Monday, March 8, 2010

Jati Diri dan Bangga Diri



Jati diri boleh diklasifikasikan sebagai kekuatan asas mengenai diri sendiri dan seseorang itu berpegang teguh kepadanya. Kebiasaannya, jati diri ini dapat dilihat melalui semangat yang ditonjolkan dan ia tidak mudah goyah walaupun ujian hebat yang melanda. Mengenali asal usul, keturunan, bangsa dan matlamat hidup yang jelas amat mempengaruhi jati diri seseorang manusia. Mereka akan kenal diri mereka sendiri dan mencungkil kelebihan yang ada pada diri mereka untuk di manfaatkan bagi tujuan kebaikan sejagat.

Bangga diri boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan kelebihan yang ada pada individu kepada individu lain dengan cara lisan, bertulis ataupun gerak badan. Manusia akan merasakan diri mereka hebat dari individu lain dan sikap ini akan membuahkan perasaan riak di dalam hati manusia tersebut. Secara pandangan positifnya, perasaan bangga diri adalah tidak salah untuk diri kita sendiri untuk menaikkan motivasi dalaman tetapi tidak menunjukkannya ataupun mewawarkannya kepada orang ramai mengenai kelebihan yang tuhan kurniaka ke atas diri kita. Kesyukuran perlu dipanjatkan kepada tuhan yang maha esa atau kurnianya tetapi malangnya perasaan riak wujud berbanding kesyukuran kepada tuhan.

Teks ini akan menerangkan mengenai perbezaan antara jati diri dan bangga diri dan juga kesannya terhadap perkembangan tamadun manusia sejagat.

Sesuatu perkara yang positif akan bermula dengan tindakan dan pemikiran yang positif. Rintangan dan halangan dalam mencapai matlamat yang diinginkan adalah asam garam kehidupan. Jati diri yang kuat dan mantap akan menjadi benteng kepada setiap kekangan yang melanda. Pembentukan jati diri adalah berdasarkan pengalaman yang ditimba serta ilmu untuk mengenali diri sendiri akan menyebabkan individu tersebut mempunyai nilai-nilai asertif. Proses mengenali diri sendiri juga boleh dikenali sebagai cermin diri. Terdapat dua kaedah untuk cermin diri individu itu sendiri adalah melalui pemerhatian terhadap diri sendiri dan pandangan orang luar mengenai diri individu tersebut.

Pemerhatian terhadap diri sendiri boleh diterjemahkan melalui perkataan muhasabah diri. Kekuatan dan kelemahan diri itu sendiri akan wujud secara maya dan pentafsirannya bergantung terhadap diri individu terbabit. Segala kelemahan diri haruslah dikurangkan dengan cara yang lebih berhemah sebagai contoh, A mengalami masalah malu untuk bercakap dan dia mengambil inisiatif dengan menghadari kursus komunikasi untuk mengatasi kelemahannya itu. Belakangan ini, apa yang berlaku dikalangan masyarakat kita adalah menuduh individu lain untuk menutup kelemahan yang ada pada diri individu itu sendiri. Tindakan yang tidak bermoral ini akan menyebabkan penindasan berlaku dan masyarakat akan memandang serong terhadap individu yang dituduh. Kelemahan yang ada tidak akan dapat dikurangkan dengan cara sebegini tetapi ia akan menyebabkan individu lain sengsara akibat dari perbuatan tuduh menuduh yang bakal menghancurkan perpaduan bangsa yang telah terbina beratus-ratus tahun dahulu. Pemikiran yang kreatif amatlah diperlukan untuk mencari inisiatif membaiki kelemahan diri sekali gus menjadikan kelemahan tersebut sebagai kekuatan baru yang bakal mengubah struktur kehidupan masyarakat sejagat.

Pandangan dan lontaran idea dari pihak luar harus difikirkan kembali dan diimplikasikan untuk penambah baikan terhadap diri sendiri. Berterima kasih terhadap pandangan dan komen dari pihak luar amatlah digalakkan kerana mereka menjadi cermin pemantul cahaya terhadap diri kita sendiri. Pandangan dan komen yang mereka berikan adalah berdasarkan penilaian mereka terhadap diri individu itu sendiri. Saya akui bahawa setiap manusia mempunyai corak pemikiran berbeza yang akan membentuk ideologi mereka yang tersendiri. Pemangkin terhadap perubahan kelemahan dalam diri sendiri akan wujud dengan cara menganalisa maklumat ataupun komen yang telah dilontarkan oleh pihak luar. Komen tersebut adalah terpulang kepada kita sendiri untuk menerimanya ataupun menolaknya kerana tidak semua komen itu positif yang membina. Jesteru itu, kita harus bijak memilih pilihan yang ada untuk meningkatkan kekuatan jati diri kita sendiri. Apabila jati diri individu itu kuat, seharusnya kita menarik individu lain untuk bersama-sama menguatkan jati diri kita sekaligus akan wujudnya semangat cintakan negara yang tebal dalam nubari setiap warganya.

Namun begitu dalam kita leka berbicara mengenai jati diri yang utuh, akan ada unsure negative yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat iaitu bangga diri. Semangat positif dalam aspek bangga diri jarang di keutarakan namun hakikat yang dapat dilihat adalah negatifnya yang diamalkan oleh masyarakat kita. Sifat ingin menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri sendiri sudah menjadi satu fenomena yang biasa di kalangan masyarakat kita. Apa yang boleh kita perhatikan, bangga diri akan membawa perasaan iri hati dan cemburu bersama-sama dengannya. Mereka tidak boleh melihat individu lain lebih dari apa yang mereka ada. Persaingan akan wujud namun ia adalah persaingan yang tidak sihat dan akan membahayakan masyarakat. Kesan darinya akan wujudnya perpecahan dikalangan satu kelompok tersebut dengan setiap individu membawa haluan mereka masing-masing.

Sikap bangga diri turut akan membawa padah kepada individu tersebut. Pihak lawan ataupun musuh didalam selimut agak senang untuk mencari maklumat bagi menjatuhkan individu tersebut. Kebiasaanya memang setiap individu tidak akan perasan mengenai taktik licik ini namun pepatah melayu ada mengatakan bahawa hanya jauhari mengenal manikamnya. Berwaspada dengan setiap tutur kata dan perbuatan adalah langkah terbaik untuk menyelamatkan diri dari perangkap musuh disamping mempunyai jati diri yang kuat. Kekuatan dalaman akan menjadi punca kemenangan individu itu tidak kiralah ia mencapai matlamat yang dicita-citakan ataupun menyelamatkan diri dari pengaruh luar yang cuba mempengaruhi diri seseorang individu tersebut. Jerat akan sedia menunggu namun ia terpulang ke atas diri individu itu sendiri samada mahu meredahnya, melarikan diri darinya ataupun masuk ke dalam kawasan jerat tersebut tanpa beringat akan adanya jerat itu.

Jati diri yang kuat akan membentuk individu yang kuat mentalnya, fizikalnya dan emosi. Ia tidak akan mudah goyah pegangannya kerana individu ini kenal siapa dirinya? dimanakah asal usulnya? Siapakah ibu dan bapanya?. Persoalan ini akan menyebabkan seseorang individu itu kenal dirinya ataupun dalam bahasa kasarnya sedar diri nya siapa. Sekiranya individu itu tidak mengenali asal usulnya kerana dia berhijrah buat sementara waktu, jati dirinya adalah sangat longgar. Ingin saya tekankan disini bahawa jati diri ini terbentuk salah satunya berpunca dari asal usulnya iaitu tempat dilahirkan dan tanah tumpah darah seseorang individu tersebut. Sekiranya individu tersebut kenal akan asal usulnya, dia akan mengenal siapakah dirinya yang sebenarnya dengan cara memunasabahkan dirinya sendiri.

Jati diri perlu ditingkatkan dan bangga diri haruslah di ambil dari aspek positifnya bukan dari aspek negatifnya. Pemikiran yang positif akan membentuk segala-galanya yang kita impikan adalah positif. Melarikan diri dari masalah adalah satu kesalahan besar yang akan menyebabkan jati dirinya goyah tetapi sekiranya hadapi masalah itu dengan tenang, jati diri individu itu akan bertambah. Kita yang akan mengubah dan mencorakkan masa depan kita sendiri. Nak seribu daya tak nak seribu daleh.
Hanif Hanan/7 mac 2010

No comments:

Post a Comment