Thursday, February 25, 2010

Kehidupan dan Kesombongan

Kehidupan dan Kesombongan

Kebongkakkan boleh dikategorikan di bawah elemen kesombongan. Dengan wujudnya perasaan sombong di dalam diri manusia, bongkak dan riak akan turut wujud. Kebiasaan perkara ini berlaku dengan wujudnya pertuduhan terhadap individu lain dengan erti kata lain sering menuduh orang lain salah sedangkan kesalahan itu berpunca dari dirinya. Untuk menutup kelemahan yang ada pada diri mereka, orang yang tidak bersalah akan terus dipersalahkan dengan menekankan hujah-hujah yang menyebabkan orang sekeliling mereka percaya akan kata-kata mereka. Sifat-sifat keji ini semakin lama semakin membarah di kalangan masyarakat kita. Bilakah ia akan berhenti?

Manusia akan terus menyalahkan orang lain tetapi mengapa kita tidak meniru rentak rasulullah yang sering menyalahkan dirinya atas setiap apa yang berlaku? Sekiranya manusia menyalahkan diri sendiri, motivasi dirinya akan meningkat di mana mereka mengetahui titik-titik kesalahan yang mereka perlu perbaiki untuk kebaikan bersama. Sekiranya sifat menyalahkan orang lain atas kesilapan kita ini berterusan, ia akan menutup semua peluang motavasi diri dan juga akan wujudnya kebencian di dalam hati orang yang dituduh. Kebencian ini akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat dan sekiranya masalah ini berterusan, keamanan negara bakal tergugat sekali gus akan member peluang kepada kuasa asing senang untuk campur tangan dalam urusan kita sendiri.

Setiap agama di dunia ini menuntut ummatnya untuk berbuat kebaikan sesama manusia namun adakah kesombongan ini dituntut ataupun di ajar oleh kitab-kitab agama tersebut? Sifat ini wujud apabila seseorang manusia itu berbangga dengan kurniaan tuhan berikan ke atas diri mereka yang mana ia tidak dikurniakan ke atas insan lain. Berbangga dengan apa yang ada pada diri sendiri dengan cara baik iaitu mensyukuri nikmat itu dan digunakan sebaik-baiknya adalah digalakkan oleh agama namun apa yang terjadi belakangan ini adalah perkara yang sebaliknya. Mungkin sesetengah orang akan mengatakan bahawa dunia ini telah terbalik tetapi sedarkah kita bahawa dunia ini tidak terbalik, kita yang sebenarnya menerbalekkan dunia ini. Siapa yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu diri kita sendiri. Yang berjasa dan banyak menolong tidak langsung diucapkan terima kasih atau ada juga segelintir manusia yang mengucapkan terima kasih dengan cara yang tidak ikhlas. Mereka menyucapkan terima kasih namun selepas sahaja mengucapkan terima kasih mereka mengutuk dan mengeji orang yang berjasa kepada mereka. Bukan diminta untuk berterima kasih namun ia adalah tanda penghargaan kepada orang yang berjasa agar mereka dapat rasakan bahawa pengorbanan mereka di hargai. Mereka juga tidak akan pernah jemu untuk menolong kita lagi dimasa yang akan datang.

Dunia ini juga terbalik dalam aspek kemaafan. Kemaafan sebenarnya wujud dari hati yang ikhlas untuk memaafkan seseorang atas kesalahan dan juga khilaf yang dilakukan. Namun perkara yang berlaku pada masa kini adalah insan yang dibuat salah perlu meminta maaf kepada si pembuat salah. Apakah ini? Lidah senang untuk melafazkan atau menceritakan ‘aku memaafkan setiap orang sebelum aku tidur’. Perkara ini adalah suatu perkara baik yang dilakukan oleh rasulullah namun adakah insan yang membuat kesalahan itu tahu tentang kemaafan yang telah diberikan itu? Sudah tentu tidak. Apa yang masih dalam ingatannya hanya kemaafan yang belum di berikan. Bagi insan yang berhati lembut ini, ia akan menyiksakan jiwanya. Daripada memikirkan tentang kemaafan itu lebih baik kita bertindak menghulurkan tangan dan ikhlaskan hati mohon kemaafan. Ada juga yang tahu akan kesalahannya yang telah melukakan hati seseorang namun dia langsung tidak memperendahkan dosanya terhadap insan tersebut. Rasulullah ada bersabda mafhumnya ‘tidak akan masuk syurga seseorang anak Adam itu sekiranya dia ada berbuat salah kepada insan lain tanpa meminta maaf’. Ayat ini jelas menggambarkan pentingnya kemaafan itu bagi setiap manusia.

Hati yang tenang tidak akan mungkin akan wujud sekiranya kesombongan dan hipokrit masih lagi bermaharaja lela di dalam hati anak Adam tersebut. Dalam surah Al Fajr ada menyatakan mafhumnya ‘wahai hati yang tenang, kembalilah dikau dengan hati yang redha dan diredhai’. Ayat tersebut jelas menyatakan bahawa hati yang tenang akan disambut oleh Allah dengan keredhaan dirinya terhadap ujian Allah ke atas hambanya. Jiwa yang tenang juga akan wujud jika jiwa itu diredhai. Maksud diredhai disini adalah dengan kemaafan dari segala dosa-dosanya terhadap manusia dan juga janji-janji yang yang perlu dikotakan. Namun dewasa ini ramai manusia yang melupakan janjinya terhadap manusia lain dan ada juga yang sanggup menyiksa jiwa manusia lain demi memuaskan nafsu untuk melihat seseorang itu derita. Sedarlah manusia, apa yang berlaku ini adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Wahai hamba-hamba Allah, segeralah dikau memohon kemaafan dari Allah dan juga insane yang dikau sakiti. Sekiranya insan yang anda sakiti itu tidak memaafkannya sekurang-kurangnya beban ke atas anda telah ringan dan itu adalah urusannya dengan Allah. Bersegeralah memohon keampunan dari insan tersebut sebelum mata anda tertutup atau matanya tertutup untuk selama-lamanya. Sekiranya masa yang telah dijanjikan oleh tuhan itu tiba, pintu kemaafan telah tertutup dan penyesalan tiada gunanya lagi. Tuhan tidak akan memaafkan dosa anak Adam sesama anak Adam itu. Berbuat baiklah dan hapuskanlah ego dan kesombongan itu untuk perdamaian dan juga merapatkan hubungan silaturrahim sesama manusia. Sesungguhnya, ikatan persaudaraan yang tinggi akan membentuk peribadi masyarakat yang mulia. Bak kata pepatah melayu air di cincang tidak akan putus.
Hanif hanan/25 feb 2010